Semasa mengharungi cuti semester ini, entah beberapa kali telah aku membelek-belek buku ‘Jejak-Jejak di Pantai Zaman’ tulisan Ungku A. Aziz walaupun telah habis kandungan isinya ku baca. Mungkin kerana isinya itu tidak jemu aku membelek dan membacanya. Engku A. Aziz seorang tokoh ekonomi yang telah menumpukan perhatiannya kepada masalah kemiskinan desa selama lebih 20 tahun telah menghuraikan pendapat pendeta Za ‘ba tentang kemiskinan orang Melayu yang ditulis lebih 50 tahun lalu.
Jika kita memperkatakan tentang kemiskinan orang Melayu, tidak terlepas bahawa ia menjadi satu perhatian yang penting. Bermula dari penulisan Za ‘ba lagi, beliau telah memperkatakan tentang kemiskinan khususnya orang Melayu. Sehinggalah ke hari ini kemiskinan ‘Melayu’ masih berlaku.
Mungkin kerana buku Jejak-jejak di Pantai Zaman ini yang membicarakan tentang ekonomi Melayu dan kemiskinan, membuatkan diri ini tidak jemu menatap dan membaca kandungannya apatah lagi pendapat yang diutarakan oleh Ungku A. Aziz itu masih relevan walaupun edisi pertama telah terbit 20 tahun yang lalu.
Hasil penulisan buku ini, saya tertarik kepada konsep kemiskinan yang diutarakan oleh Za ’ba dimana beliau melihat bahawa orang Melayu itu adalah miskin, bukan pada harta bahkan miskin dari serba-serbi sepertimana petikan berikut:
"orang kita Melayu ini pada hitungan am atau jumlahnya ialah satu kaum
yang tersangat miskin. Kemiskinan itulah sifatnya yang terlebih sangat
lengkap dan nyata daripada lain-lain sifat kebangsaannya dan ialah juga
sebesar-besar kekurangan yang menjadikan mereka kalah atau ketinggalan
dibelakang dalam perlumbaan kemajuan. Miskin pada wang ringgit dan
harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan
latihan pengetahuan, miskin pada alat kelengkapan otak dan pada
beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia--jadilah mereka
tak dapat tiada daripada tersangkut dan ketinggalan dalam
perjalanan bangsa-bangsa."
Nah, inilah dia antara petikan rencana yang ditulis oleh Za’ba mengenai kemiskinan Melayu pada 1923. Bagi anda, adakah ia masih relevan jika dikaitkan dengan masa kini yang kita katakan sebagai zaman atau era globalisasi? Bagi saya ia sudah tentu lagi relevan walaupun kini bukan lagi zaman penjajahan Britisah. Orang Melayu tetap masih ketinggalan dalan perjalanan bangsa-bangsa dan ini dapat dibandingkan dengan penguasaan kaum Cina dalam aspek ekonomi walaupun kaum cina itu kecil bilangannya dibandingkan dengan kaum Melayu. Nah,dalam perjalanan bangsa-bangsa, orang Melayu masih lagi miskin. Nah, dalam perjalanan bangsa-bangsa, orang Melayu masih lagi ketinggalan dalam lapangan ekonomi walaupun ada sedikit kemajuan.
Oleh yang demikian itulah Ungku A. Aziz memberikan judul buku ini ‘Jejak-jejak di Pantai Zaman’ kerana yang beliau maksudkan itu adalah Za ‘ba yang sudah pasti meninggalkan Jejak-jejak di Pantai Zaman…
Saya tidak mengatakan dengan lagu pilu,
Bahawa bangsa Melayu itu sedang mati,
Saya hanya berazam supaya semangat yang tidur itu,
Bangun dan bergiat di zaman yang cemerlang ini.
Saya tidak mengatakan dengan pilu,
Cara memperbaiki orang Melayu,
Saya mahu supaya tiap-tiap orang Melayu insaf,
Supaya tidak sentiasa berpuas hati dengan bersederhana.
Za ’ba
6 Disember 1923
(terjemahan Ungku A. Aziz, 1974)