Kamus Dewan mendefinisikan negara adalah suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan manakala bangsa adalah jenis manusia daripada satu asal keturunan; juga kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002). Negara adalah organisasi yang paling tinggi dan mencakupi pengertian yang paling luas. Pemikiran politik Islam melihat negara sebagai ”daulah”, yang wilayahnya meliputi peta dunia, tidak dibatasi oleh batas-batas geografi. Manakala para pemikir klasik melihat negara sebagai entiti politik yang mensyaratkan adanya wilayah, jumlah penduduk, pemerintah dan adanya kedaulatan. Dalam aspek politik, negara adalah satu istilah politik antarabangsa serta geografi politik yang merujuk kepada satu wilayah geografi. Ia boleh menjadi satu wilayah yang diperintah oleh satu kerajaan negara politik. Negara pada lazimnya mempunyai satu kerajaan, pentadbiran dan undang-undang, mempunyai perlembangaan, polis, tentera, peraturan cukai dan penduduk yang dirujuk sebagai rakyat. Keadaan ini membentuk apa yang dikatakan oleh Benedict Anderson sebagai ”imagined communities” (Anderson, B., 2001).
Negara bangsa adalah satu kumpulan manusia dengan identiti yang sama yang telah membentuk negara politik sendiri. Dalam maksud negara geografi ini, rujukan adalah lebih bercirikan satu kumpulan yang mempunyai asal yang sama dari segi etnik, bahasa, agama, atau sejarah. Sebuah bangsa di dalamnya terdiri dari berbagai macam kelompok masyarakat atau pribumi (etnik, ras, agama) dengan budayanya masing-masing. Anderson telah meneliti dan mengkaji latar belakang sejarah bangkitnya kesadaran nasionalisme, perkembangannya, sehingga bagaimana nasionalisme itu boleh terjadi. Dalam aspek ini Anderson menggunakan pendekatan antropologi cultural. Beliau mendefinisikan bangsa atau nasionalisme ialah kumpulan politik dan berkedaulatan (Anderson, B., 2001).
Menurut Anderson bahawa apa yang dinamakan bangsa (nation) adalah tidak sama dengan negara (state). Sebagai contoh, Indonesia sebagai negara adalah warisan kolonial ”product of colonial legacy”; pemerintahan, sistem pentadbiran, sistem perundangan (walaupun sekarang banyak diubah), Indonesia adalah produk dan lanjutan dari pemerintahan kolonial Belanda. Manakala bangsa sangat berbeza dari negara. Bangsa Indonesia adalah baru, bukan hasil bentukan Belanda, sekalipun kelahirannya dipengaruhi oleh kolonialisme Belanda.
Benedict Anderson menjelaskan lagi pengertian bangsa. Pertama, adalah sebuah kumpulan yang semua anggotanya pernah (akan) saling mengenal, bertemu atau mendengar meskipun dalam fikiran mereka belum tumbuh kesedaran tentang perpaduan antara mereka. Kedua, betapapun besar kumpulan itu, ia mempunyai batas wilayah, yang memisahkan nation yang satu dengan nation yang lain. Ketiga, adanya kerelaan berkorban untuk mati dan berjuang demi kepentingan kumpulan atau bangsanya dalam sesebuah negara atau wilayah. Konsep bangsa inilah yang telah meruntuhkan negara kolonial Hindia Belanda di Indonesia.
Pemahaman terhadap konsep negara bangsa ini perlu difahami. Menurut Hassan Ahmad (2007), Bangsa dan negara adalah dua entiti atau konsep yang berlainan. Bangsa ialah entiti atau kesatuan sosiobudaya manakala negara, atau dalam bahasa Inggerisnya disebut state, adalah kesatuan geografi-politik. Menurut Hassan Ahmad lagi, identiti sesuatu bangsa itu dibentuk atau dikenali berdasarkan persamaan budaya, bahasa, asal usul sejarah dan mungkin juga agama yang dimiliki atau diwarisi bersama oleh anggota kumpulan bangsa itu sejak turun-temurun, sejak zaman nenek moyang yang asal, tidak kira sama ada `nenek moyang yang asal' itu wujud dalam sejarah atau hanya diciptakan melalui mitos dan imaginasi bersama.
Konsep atau kesatuan geografi-politik yang disebut negara itu terbentuk melalui peraturan, institusi dan sistem tertentu yang merentas ciri-ciri atau identiti bangsa, misalnya, ada kawasan geografi tertentu yang dapat diiktiraf oleh negara atau bangsa-bangsa lain sebagai kawasan politik negara atau kawasan pemerintahannya, ada sistem undang-undangnya sendiri, ada kerajaannya sendiri, ada bendera sendiri, ada lagu kebangsaan sendiri, ada raja atau presiden atau perdana menterinya sendiri, dan ada perlembagaannya sendiri (sama ada yang bertulis atau yang tidak bertulis). Walaupun konsep negara dan bangsa itu mempunyai entiti yang berlainan tetapi ia adalah saling berkait kerana bangsa yang wujud itu adalah dalam sesebuah negara dan tidak dapat lari daripadanya.
Ada bangsa di dunia ini yang tidak mempunyai negara. Misalnya, bangsa Scots atau Welsh, atau bangsa Catalan dan Alsace di Eropah, tidak mempunyai negara sendiri. Jadi dari segi taraf undang-undang dan politiknya bangsa Scots atau Welsh disebut warganegara British atau `Britisher', tetapi bangsanya ialah Scots atau Welsh. Bangsa Tamil di kawasan Jafna di Sri Lanka berjuang mati-matian untuk menubuhkan negaranya sendiri yang terpisah daripada Sri Lanka. Begitu juga bangsa Chechen, atau bangsa Melayu-Islam di selatan Filipina, mereka juga berjuang untuk mewujudkan negara sendiri, terpisah daripada Rusia atau Filipina.
Jadi, daripada contoh-contoh ini, dapat difahami bagaimana kesedaran kesatuan bangsa menjadi dorongan yang cukup kuat untuk mendesak bangsa itu membentuk negara sendiri, agar terlepas daripada kuasa atau pemerintahan bangsa lain yang lebih dominan. Inilah yang disebut kesedaran kebangsaan atau nasionalisme, satu fenomena politik atau sosiopolitik yang sebenarnya bermula dalam sejarah bangsa-bangsa Eropah sejak pertengahan kedua abad ke-18 dan kemudiannya telah dapat berkembang dengan pesat di rantau Asia Tenggara. Istilah atau konsep negara bangsa ini juga ciptaan sejarah politik kebangsaan Eropah. Ia bererti negara yang terdiri daripada satu bangsa sahaja, atau setidak-tidaknya, yang terdiri daripada satu bangsa yang dominan.
Hitler cuba melaksanakan konsep ini sepenuhnya apabila beliau melancarkan proses `pembersihan etnik' untuk menjadikan Jerman sebagai sebuah negara kebangsaan yang hanya akan terdiri daripada bangsa Jerman yang tulen sahaja, bangsa super race, yang harus dibersihkan daripada kehadiran semua bangsa lain, terutama bangsa Yahudi, dan juga kaum-kaum gipsi (Qasim Ahmad, 2000 a). Bangsa Serb (atau Serbia) cuba melakukan proses yang sama apabila mereka melancarkan perang pembersihan etnik yang dahsyat terhadap bangsa Bosnia-Islam di bekas negara Kesatuan Yugoslavia. Namum sepertimana yang diketahui “negara bangsa sempurna” Hitler yang dibentuknya melalui realisme yang lebih nekad daripada Bismarck tidak menjamin keselamatan malah menjemput kehancuran (Qasim Ahmad, 2000 b).
Konsep negara-bangsa menurut gagasan bangsa Eropah itu tidak mungkin dapat dipertahankan lagi pada hari ini memandangkan bahawa kebanyakan negara di dunia hari ini adalah negara pelbagai bangsa atau pelbagai etnik. Maka konsep `negara-bangsa' terpaksa diberikan takrif baru, iaitu sebagai negara yang penduduknya, tidak kira bangsa, dapat menggantikan semangat cinta terhadap bangsa atau kumpulan etnik masing-masing dengan semangat atau kesedaran cinta terhadap negara. Konsep negara bangsa sudah pasti mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang perlu dipertahankan dan diperkukuh oleh sesebuah negara agar di pandang oleh bangsa atau negara lain sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.
Sumber:
Anderson, B. (2001). Imagined Communities. Yogyakarta: Insis.
Hans Khon (1984). Nasionalisme dan Sejarahnya, Jakarta: Erlangga.
Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Qasim Ahmad (2000a). Eropah Moden: Arus Politik Dan Pemerintahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Qasim Ahmad (2000b). Karya Sejarah: Pendekatan Dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
http://www.hasannudin.gq.nu/ppb.htm.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Negara %28geografi%29.
http://www.prihatin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=1&Itemid=1%20-%2023k.